Wednesday, November 5, 2008

MELAYU..


Melayu itu orang yang bijaksana,
nakalnya bersulam jenaka ,
budi bahasanya tidak terkira,
kurang ajarnya tetap santun,
jika menipu pun bersopan,
berani jika bersalah,
takut kerana benar,
janji simpan di perut ,
selalu pecah di mulut
biar mati adat,
jangan mati anak.

Melayu di tanah semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu
keturunan Aceh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai Asli Melayu
Arab dan Pakisatani semua Melayu,
Mamak dan Malbari semua Melayu
malah Mualaf bertakrif Melayu,

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan,
melorongkan jalur segala zaman
begitu luas daerah sempadan,
sayangnya kini segala kehilangan,

Melayu itu kaya falsafahnya
kias kata bidai pusaka,
akar budi bersulamkan daya
malangnya Melayu itu kuat bersorak,
terlalu ghairah pesta temasya
sedangkan kampung telah tergadai,
sawah sejalur tinggal sejengkang
tanah sebidang mudah terjual,

Meski telah memiliki telaga
tangan masih memegang tali,
sedang orang mencapai timba
bermulalah pisang tiga kali,
Melayu itu masih bermimpi, Walaupun sudah mengenal universiti,
masih berdagang di rumah sendiri
berkelahi cara Melayu,
menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyum,
marahnya dengan diam
merendah bukan menyembah,
meninggi bukan melonjak,
Watak Melayu menolak permusuhan,
tapi jika marah tak nampak telinga
musuh dicari ke lubang cacing,
tak dapat tanduk telinga dijinjing
maruah dan agama dihina jangan ,
hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali,
silaturrahim hati yang murni
maaf diungkap sentiasa bersahut,
tangan dihulur segera bersambut
luka pun tidak lagi berparut,

baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
segala yang ada sanggup diberikan,
sehingga tercipta sebuah kiasan
dagang lalu nasi ditanakkan,
suami pulang lapar tak makan
anak di pangkuan mati kebuluran.

Bagaimanakah Melayu abad 21
masihkah tunduk tersipu-sipu
jangan takut melanggar pantang
jika pantang menghalang kemajuan
jangan segan menentang larangan
jika yakin kepada kebenaran
jangan malu mengucapkan keyakinan
jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

-USMAN AWANG-

Percaturan politik usah rugikan Melayu

MUTAKHIR ini ada sahaja cadangan dan tindakan yang jika dinilai kesannya dari segi jangka panjang lebih banyak merugikan orang Melayu, membelakangkan semangat kebangsaan dan melebarkan lagi jurang antara kaum di tanah air ini.

Mengapa atas alasan keadilan untuk semua kaum maka hak dan kepentingan orang Melayu juga yang tidak sudah-sudah 'diusik' walhal keadilan dan kesamarataan sebenarnya adalah dua konsep yang berbeza?

Tambah mengecewakan apabila sebahagian pemimpin Melayu sendiri tidak memanfaatkan kuasa yang ada, sebaliknya memberi lebih muka kepada orang lain dengan menafikan hak orang Melayu sendiri.

Bermula dengan pemberian tanah selama puluhan tahun kepada penduduk kampung baru Cina, diikuti kemudian dengan ratusan hektar tanah untuk sekolah persendirian Cina.
Ini termasuklah pelantikan bukan Melayu untuk mengemudi sebuah badan kerajaan yang penting bagi tujuan pembangunan dan kemajuan orang Melayu di kawasan bandar.

Selain itu, tindakan mahu menukar secara berperingkat status sekolah jenis kebangsaan (SJK) daripada bantuan modal kepada bantuan penuh serta pemasangan papan tanda pelbagai bahasa jelas bercanggah dengan semangat sistem pendidikan kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Malah, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) juga telah menafikan peranan murid-murid Melayu khususnya untuk menelaah ilmu dalam bahasanya sendiri pada ketika anak-anak kaum lain selesa mengikuti subjek yang sama dalam bahasa mereka.

Ada pihak pula menuduh Dasar Ekonomi Baru (DEB) bersifat perkauman Melayu meskipun pegangan ekuiti bumiputera tidak sampai 20 peratus. Sedangkan, kekayaan orang lain tidak pernah dirampas malah semakin kukuh sepanjang 30 tahun pelaksanaan dasar yang mempunyai matlamat serampang dua mata itu.

Namun, apa pula relevannya dengan langkah 'serampang satu mata' iaitu penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet khas memelihara hal ehwal dan kepentingan kaum tertentu? Tidakkah itu terang-terang bersifat perkauman?

Perlu ditegaskan, agenda menangani permasalahan ekonomi dan ekuiti bumiputera bukan bersifat kepentingan perkauman tetapi sebenarnya melibatkan kepentingan nasional.

Bayangkan jika masyarakat bumiputera iaitu majoriti penduduk di negara ini tidak diberi perhatian, sebaliknya kehendak dan tuntutan orang lain pula yang dimanjakan secara berlebihan, adakah itu akan menjamin kestabilan sosial pada masa depan?

Dalam masa yang sama, suara-suara yang galak mahukan pembentukan dan perpaduan sebuah bangsa Malaysia juga yang tegar menuntut sistem pengasingan pendidikan mengikut aliran kaum dikekalkan malah ditingkatkan sebanyak yang mungkin dengan alasan hak asasi manusia.
Walhal, identiti rakyat Malaysia yang benar-benar bersatu padu hanya akan menjadi kenyataan apabila anak-anak Malaysia berbilang kaum ditempatkan di bawah satu bumbung persekolahan yang sama iaitu sistem pendidikan kebangsaan bukannya bersekolah mengikut aliran kaum masing-masing.

Hakikatnya, percaturan politik di tanah air ini menagih strategi dan sifat kewaspadaan yang tinggi di kalangan pemimpin, pelaksana dasar dan pegawai-pegawai kerajaan yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.

Ini penting bagi menjamin orang Melayu tidak kalah dalam apa-apa juga keadaan yang kemudiannya dilabel sebagai tolak ansur.

Mengapa tidak kita contohi kesungguhan politik (political will) pemimpin terdahulu seperti Tun Abdul Razak dan pemimpin seangkatannya memelihara kepentingan Melayu dan mengukuhkan nilai-nilai kebangsaan pada ketika memuncaknya rasa cauvinis dan 'rasis' kaum lain pada masa itu?

Kini, orang Melayu sudah tidak ada apa untuk bertolak ansur, sebaliknya tiba giliran kaum-kaum lain pula untuk bertolak ansur dengan sedia berkongsi, bekerjasama dan menghormati hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Oleh sebab itu, sebarang keputusan atau tindakan yang diambil perlu dilihat dan dinilai dalam kerangka perspektif yang lebih luas dan menjangkau ke depan demi kebaikan orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Kita tidak mahu hanya kepentingan politik yang sempit maka sejarah asal usul, siasah, ekonomi dan kebudayaan tanah air ini yang sepatutnya berteraskan Melayu akan melalui satu proses transformasi yang tidak adil.

JANGAN MAIN API..


Tuesday, July 1, 2008