Wednesday, May 21, 2008

‘Dakwaan Anwar cakap kosong’

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) KS Nallakaruppan semalam mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bercakap benar berhubung dakwaannya yang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat menyertai pembangkang.

Beliau berkata, apa saja dakwaan bekas rakan baiknya itu berhubung wakil rakyat BN akan melompat parti tidak patut diterima atau dipercayai. "Dia berbohong, saya tidak percayakannya," katanya di lobi Parlimen semalam.

Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, walaupun sudah mengenali Anwar selama 30 tahun, apa yang beliau mahu lakukan sekarang adalah menjauhkan diri daripada bekas Timbalan Perdana Menteri itu buat selama-lamanya.

Ditanya adakah beliau meragui kenyataan dan hubungannya dengan Anwar dan dakwaan Penasihat PKR itu ‘Prime Minister - in - waiting’ (bakal Perdana Menteri), Nallakarupan berkata: "Beliau (Anwar) boleh terus menunggu".
Terdahulu, Nallakarupan mengadakan pertemuan singkat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyatakan sokongannya kepada kepemimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Saya tidak fikir beliau seorang pemimpin yang lemah. Beliau adalah pemimpin yang baik," katanya sambil menambah sudah mengenali Abdullah selama beliau mengenali Anwar.

Katanya, antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Abdullah adalah permohonan MUIP untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai lanjutan kepada permohonan bertulis yang dikemukakan kepada Pengerusi BN itu selepas pilihan raya umum lalu. "
Saya mengharapkan yang terbaik. Beliau berhak menerima atau menolak permohonan itu," katanya dan menambah beliau yakin partinya dapat menarik lebih banyak ahli jika diterima menyertai BN.

Nallakarupan berkata, tiada salahnya jika BN mempunyai satu lagi parti berasaskan kaum India asalkan setiap parti memberi khidmat kepada rakyat.
Ditanya kenapa beliau menubuhkan parti baru dan tidak menyertai MIC yang sememangnya komponen BN, Nallakarupan berkata, pihaknya tidak dijemput menyertai semula bekas partinya itu.

Mengenai hubungannya dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, beliau menganggap bekas Menteri Kerjaraya itu sebagai kawan baiknya. "Beliau banyak mengajar saya. Beliau adalah guru saya," katanya.

No comments: