Wednesday, May 21, 2008

Fahami ketepatan maksud ketuanan Melayu

KETUANAN Melayu telah dikaitkan sebagai antara faktor penyumbang kekalahan kerusi-kerusi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini. Kononnya istilah itu menakutkan masyarakat bukan Melayu, sehingga timbul persepsi yang salah terhadap maksudnya yang sebenar. Ia juga "dipakejkan" oleh parti pembangkang sebagai satu alat untuk menindas kaum-kaum lain.

Di laman-laman blog dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris pula telah menterjermahkan Ketuanan Melayu sebagai Malay Supremacy yang bersifatkan perkauman.

Manakala yang terbaru pula seorang menteri kanan dari parti komponen menggesa supaya perkataan "ketuanan" itu tidak digunakan langsung. Hujah beliau perkataan "tuan" lawannya adalah "hamba", oleh yang demikian menggambarkan bahawa seolah-olah bangsa bukan Melayu sebagai "hamba".

Adalah sungguh malang sekali dalam usaha mereka memutarbelitkan kenyataan pejuang-pejuang Ketuanan Melayu ini , pihak pro-pembangkang telah berjaya melahirkan perasaan benci, meluat dan menyampah masyarakat bukan Melayu terhadap orang-orang Melayu itu sendiri, seperti yang telah diungkapkan oleh Awang Selamat di dalam Utusan Malaysia, 13 Mei 2008.

Perkembangan ini amat membimbangkan kerana agenda dan maksud sebenar Ketuanan Melayu telah menyimpang jauh hasil daripada eksploitasi pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik. Adalah menjadi kewajipan setiap pemimpin yang mendukung dan menyokong konsep Ketuanan Melayu ini untuk memberikan penjelasan kepada segenap lapisan masyarakat.

Langkah ini penting supaya ketidakpuasan hati dan kekeliruan mengenai is- tilah ketuanan Melayu dapat ditangani demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Andaian "Ketuanan Melayu" sebagai si- nonim dengan penghambaan atau peminggiran kaum-kaum lain adalah amat tidak berasas sama sekali. Ia tidak serupa dengan "ketuanan satu bangsa" yang pernah dilaungkan oleh bekas Presiden parti One Nation yang berhaluan kanan.

Pauline Hanson secara terang-terangan berkempen untuk mendiskriminasi etnik- etnik minoriti di Australia, sehingga pada satu ketika pernah mencadangkan penghantaran pulang bangsa-bangsa Asia yang bermastautin di Australia pada tahun 90an. Ketuanan Melayu juga tidak boleh diterjermahkan sebagai Malay Supremacy yang sebenarnya membawa maksud "Keagungan Melayu".

Contoh-contoh rejim yang mempromosikan keagungan kaum adalah seperti parti Nazi di Jerman pada era 1930an dan 1940an yang mengagungkan bangsa mereka sebagai masterclass tetapi menindas kaum Yahudi.

Zionis di Israel pula menganggap bangsa Yahudi sebagai bangsa "terpilih oleh tuhan" tetapi menzalimi bangsa Palestin, Apartheid di Afrika Selatan yang menindas etnik majoriti kulit hitam dan Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang melihat kaum kulit putih sebagai master race tetapi menanam perasaan jijik dan benci terhadap bangsa-bangsa lain, terutamanya dari Afrika.

Berdasarkan juga kepada contoh-contoh di atas, setiap rejim yang "mengagungkan" sesuatu bangsa akan menzalimi dan mendiskriminasi kaum yang lain. Persoalannya, adakah bangsa bukan Melayu di Malaysia ini ditindas? Adakah suara-suara yang melaung-laungkan Ketuanan Melayu ini juga terlibat dalam kempen membencikan kaum-kaum lain?

Maksud sebenar Ketuanan Melayu adalah lebih mirip kepada Malay Dominance dan bukannya Malay Supremacy atau Malay Superiority. Ia kerap dilaungkan dengan lantang kerana Melayu tidak dominan di dalam sektor ekonomi, kerjaya, pendidikan dan juga politik. Di dalam senarai Forbes 2008, hanya terdapat seorang Melayu di dalam senarai 10 lelaki terkaya di Malaysia. Eksekutif Melayu hanya di syarikat-syarikat milik kerajaan tetapi bilangan mereka di sektor swasta terlalu kurang.

Ini secara langsung menyumbangkan kepada statistik yang menunjukkan bahawa pendapatan seisi rumah keluarga Melayu merupakan yang terendah antara ketiga-tiga kaum. Pelajar-pelajar Melayu yang unggul semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak cemerlang di peringkat universiti. Bahkan, di sektor yang sepatutnya ditunjangi oleh Melayu seperti Perbankan Islam dan Hub Halal, Melayu sudah ketinggalan.

Inilah yang menjadi agenda sebenar pejuang-pejuang Ketuanan Melayu, yang tidak mahu melihat bangsa mereka yang merupakan bangsa paling dominan dari segi bilangannya di negara tercinta ini, hanya menjadi dominan di dalam "sektor" yang menghasilkan Mat Rempit, penagih dadah, keciciran sekolah, pengangguran, bohsia, muflis, kemiskinan tegar dan akhir sekali, perpecahan antara satu sama lain. Memperjuangkan Ketuanan Melayu bermaksud menaikkan martabat orang Melayu, supaya ia menjadi satu bangsa yang kuat, maju, bersatu dan disegani.

Utusan online 15 may 2008

1 comment: