Wednesday, May 21, 2008

Kesetiaan ahli kepada parti jamin survival Umno, BN


KEADAAN politik dalam negara tidak pernah sunyi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 berakhir 8 Mac lalu kerana ada saja berita sensasi, kontroversi dan gempar, tercetus atau dicetus sama ada oleh tokoh dalam parti pembangkang atau Barisan Nasional (BN), termasuk apa yang terjadi ketika sidang Dewan Rakyat. Pastinya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri tidak pernah sunyi daripada mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi.

Terbaru ialah kenyataannya supaya Ahli Parlimen BN keluar daripada gabungan itu buat sementara waktu bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan selepas usaha itu berjaya kembali semula ke dalam BN, bukan menyertai pembangkang.

Kelmarin, Dr Mahathir membuat kejutan apabila keluar daripada Umno dan mengajak ahli parti itu untuk turut berbuat demikian, juga dalam bentuk sementara sebelum kembali semula kepada Umno selepas Presiden parti bertukar.

Kita akui, BN khususnya Umno kini berdepan keadaan yang sukar, iaitu sukar dalam erti kata untuk memberi mesej yang tepat kepada ahli pada peringkat bawah dan pada masa sama cuba meyakinkan pemimpin Umno pada pelbagai peringkat untuk terus bersama parti itu.

Di sinilah ujian serta cabaran kepada ahli Umno dan BN. Hanya kesetiaan kepada parti akan menjamin survival Umno dan BN. Kelmarin, hampir semua Ahli Parlimen daripada Umno menyatakan sokongan padu kepada kepemimpinan Abdullah sebagai Presiden Umno serta berikrar tidak akan meninggalkan parti seperti disarankan Dr Mahathir - tindakan yang jelas menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti.

Kita akui sebahagian besar mereka sudah menjadi Ahli Parlimen, timbalan menteri atau menteri ketika zaman Dr Mahathir. Malah, kita juga akui sebilangan mereka tetap menghormati, menyanjung dan mengingati jasa Dr Mahathir, tetapi pada masa sama, mereka tetap akur kepada amalan demokrasi.

Amalan demokrasi ialah menghormati keputusan rakyat yang memilih BN untuk memerintah dan gabungan 14 parti pemerintah memilih Presiden Umno - yang memimpin parti yang mendapat majoriti - untuk mengetuai kerajaan.

Benar, BN tidak memperoleh majoriti dua pertiga, tetapi ia tetap majoriti dalam bentuk majoriti mudah untuk memerintah. Menyingkirkan Perdana Menteri secara tidak demokratik seperti desakan Dr Mahathir adalah bercanggah dengan amalan demokrasi dan sistem berperlembagaan.

Kaedah disyorkan Dr Mahathir, iaitu untuk ahli Umno keluar parti dan Ahli Parlimen BN keluar BN buat sementara sememangnya boleh dilakukan, tetapi itu satu bentuk ugutan, cara kasar dan membelakangi kehendak rakyat. Dr Mahathir sendiri sebelum ini kerap menasihatkan ahli parti supaya terus setia kepada parti, bukan pemimpin.

Dalam keadaan sekarang, semua ahli Umno yang taat kepada parti dan ahli BN perlu bersatu untuk terus berdiri teguh di belakang Abdullah selaku Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN. Hanya kesetiaan itu akan menjamin kestabilan politik. Malah, orang Umno sendiri sudah cukup matang dan sebarang krisis timbul seperti yang pernah berlaku sebelum ini, berjaya diselesaikan dengan ‘cara Umno’.

Bagaimanapun, untuk merapatkan lagi perpaduan dan menunjukkan kesetiaan kepada parti, pemimpin Umno sekarang perlu memikirkan langkah seterusnya bagaimana menenangkan keadaan supaya tidak menjadi parah yang boleh mengundang ‘barah’ dalam Umno.

Kita percaya Umno boleh menangani masalah dalamannya. Sememangnya, sebelum ini pun sudah banyak kali pemimpin, termasuk bekas Presidennya bertindak keluar parti, tetapi Umno tetap wujud dan terus menjadi nadi kepada kerajaan BN.

No comments: